Sunday 29 July 2018

KEMAHIRAN-KEMAHIRAN KAUNSELING



Setiap kaunselor di sekolah perlulah mempunyai kemahiran asas sebelum menjalankan sesi bimbingan dan kauseling. Kemahiran asas kaunseling ini diperlukan bagi melicinkan lagi sesi kaunseling antara kaunselor dan klien. Antara kemahiran asas tersebut ialah :

l Tingkah laku memberi perhatian.

Setiap kaunselor perlulah mampu untuk memberi perhatian yang teliti serta peka terhadap klien. Hal ini akan membuatkan kaunselor dapat memahami dengan lebih mendalam lagi masalah klien. Selain itu, dalam situasi sebegini klien akan lebih rasa hormat dan selamat dan tidak berasa ragu-ragu. Melalui tingkah laku kaunselor yang memberi perhatian terhadap kliennya juga akan membantu menjalin hubungan yang baik antara satu sama lain.

Terdapat beberapa komponen tingkah laku yang mampu memberi perhatian.

-Kedudukan tubuh badan (posture) kaunselor
Kedudukan kaunselor perlulah berada dalam keadaan condong ke hadapan iaitu mengahadap ke arah klien. Perkara ini penting bagi menunjukkan yang kaunselor itu berminat untuk mendengar masalah klien. Namun, dari semasa ke semasa kaunselor boleh mengubah kedudukan tubuhnya untuk mendapatkan keselesaan dan ketenangan.

-Ekspresi muka
Setiap orang mempunyai ekspresi muka yang tersendiri. Namun sebagai seorang kaunselor, ekspresi muka perlulah sentiasa dalam keadaan berseri. Hal ini penting bagi menunjukkan bahawa kaunselor tersebut berminat dan bersedia untuk menerima klien. Jika ekspresi muka kaunselor kelihatan masam, ini boleh membuatkan klien rasa terganggu.

-Tentangan mata
Setiap kaunselor yang melakukan sesi kaunseling perlulah melakukan tentangan mata terhadap klien. Perkara ini akan menunjukkan bahawa kaunselor tertarik dengan cerita atau masalah yang diluahkan oleh klien. Walau bagaimanapun, kaunselor perlulah mengalihkan pandangan matanya jika didapati kliennya berasa malu.

-Dorongan minimum untuk bercakap
Dorongan minimum di sini termasuk gerak isyarat, anggukan kepala, perkataan tunggal, perwatakan badan atau ulangan perkataan penting yang menunjukkan kaunselor itu berminat akan kata-kata klien. Dorongan minimum ini sangat penting bagi menggalakkan klien itu terus bercakap dan tidak mendiamkan diri.


Skala Kadar : Tingkah Laku Memberi Perhatian

-Tentangan mata
1. Kurang memberi perhatian, kurang tentangan mata.
2. Tentangan mata konsisten.
3. Perhatian teliti, mengubah penggunaan tentangan mata dan sering memberi perhatian penuh terhadap klien.

-Kedudukan tubuh badan, pergerakan dan gerak-geri
1. Tegang, kurang selesa.
2. Terlalu tenang.
3. Selesa, memberikan perhatian penuh, gerak geri munasabah.

-Kadar pertuturan dan nada suara.
1. Terlalu lambat atau cepat, nada suara tidak berubah.
2. Teragak-agak, kurang pasti.
3. Kadar pertuturan yang sesuai.


Kemahiran Mendengar

Setiap orang akan ada masalah seperti berasa sedih, tertekan dengan kehidupan ataupun gelisah. Dalam situasi seperti ini, kita akan memerlukan seseorang untuk medengar masalah dan membantu kita dalam menyelesaikan masalah begitu juga dengan orang lain.

Sebagai seorang kaunselor, kita perlulah belajar kemahiran mendengar iaitu bagaimana cara untuk mendengar dengan berkesan sebelum bertindak membantu klien menyelesaikan masalahnya. Setiap sesi kaunseling dijalankan, para kaunselor perlulah mendengar secara aktif bukan secara pasif. Mendengar secara aktif bermaksud kaunselor bukan sahaja mendengar masalah klien tetapi kaunselor perlu memahami perasaan klien dengan lebih mendalam. Kemahiran mendengar secara aktif ini boleh diibaratkan kaunselor tersebut bersama sama masuk ke dalam dunia kliennya. Kaunselor tidak boleh mengetepikan apa yang diceritakan oleh klien dengan hanya berkata, “Saya faham akan perasaan anda”, tetapi kaunselor perlu merasakan apa yang dirasakan oleh klien. Hal ini disebut sebagai kemahiran mendengar secara empati.

Dengan adanya kemahiran mendengar dalam diri kaunselor, kaunselor dapat membuktikan kepada klien bahawa beliau telah mendengar, memahami serta menerima apa jua yang disampaikan kepadanya. Seterusnya, kemahiran mendengar secaraaktif ini membawa kepada dua kebaikan iaitu membekalkan lebih banyak maklumat untuk perbincangan dan tindakan lanjut dan membolehkan individu itu meluahkan masalah yang dihadapinya serta hal ini akan membawa kepada pelepasan emosi.

Kemahiran Menyoal

Setiap kaunselor perlulah membaiki kemahiran menyoal yang dimilik dalam diri mereka. Hal ini bertujuan untuk membolehkan kaunselor mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai sesuatu masalah klien.

Untuk membaiki lagi kemahiran menyoal, para kaunselor perlulah mengetahui jenis-jenis soalan yang boleh dikemukakan. Terdapat dua jenis soalan yang boleh dikemukakan oleh kaunselor iaitu soalan terbuka dan soalan tertutup. Soalan tertutup biasanya menggunakan perkatan “ya” atau “tidak” manakala soalan terbuka memerlukan penghuraian daripada klien.

Soalan tertutup tidak menggalakkan klien menghuraikan tentang sesuatu jika dibandingkan dengan soalan terbuka kerana soalan tertutup membolehkan maklumat yang didapati oleh kaunselor terhad. Sebaliknya, soalan tebuka akan membolehkan kaunselor memperoleh banyak maklumat. Jadinya, seseorang kaunselor perlu berusaha untuk mengemukakan lebih banyak soalan terbuka berbanding dengan soalan tertutup. Melalui soalan terbuka, kaunselor akan mendapat maklumat yang mencukupi dan mampu untuk membentuk gambaran jelas tentang masalah yang dihadapi oleh klien.

Oleh itu, setiap kaunselor perlu menggunakan lebih banyak soalan terbuka berbanding dengan soalan tertutup kerana maklumat yang mencukupi boleh didapati daripad soalan terbuka yang diajukan oleh kaunselor dan perkara ini memudahkan kaunselor mengenali masalah klien sekali gus menyelesaikan masalah klien.

Kemahiran Memahami

Sebagai kaunselor, kita hendaklah berusaha untuk memahami masalah klien bukan sahaja mendengar masalahnya. Seseorang kaunselor perlu memahami masalah kliennya sebelum menyelesaikannya. Hal ini kerana terdapat sesetengah kaunselor hanya mendengar masalah kliennya dan tergesa-gesa untuk menyelesaikannya. Perkara seperti ini tidak dapat membantu menyelesaikan masalah klien tersebut.

Para kaunselor seharusnya memahami dengan teliti masalah yang dihadapi oleh klien. Hal ini kerana apabila kaunselor mendengar dengan teliti masalah klien, barulah mereka boleh mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang masalah yang dihadapi oleh klien. Dalam keadaan seperti, barulah kaunselor boleh membantu klien untuk menyelesaikan masalahnya.

Kemahiran Berempati

Kemahiran berempati disini membawa maksud kemahiran kaunselor cuba memahami serta merasai apa ayang dirasakan oleh kliennya. Kemahiran ini sangat penting kerana dapat membantu kaunselor memahami perkara yang dinyatakan oleh klien dan dia juga merasai perasaan yang dialami oleh kliennya.

Kemahiran berempati kaunselor mampu untuk membentuk gambaran kepada klien yang kaunselor telah pun memahami masalah, idea dan perasaannya. Perkara ini juga mampu mendorong klien untuk menceritakan lebih lanjut masalahnya. Apabila kaunselor sudah mengetahui dan memahami segala maklumat yang disampaikan oleh klien, barulah kaunselor berada dalam keadaan yang baik untuk menyelesaikan masalah kliennya.

Pemberian Nasihat

Ramai orang pada usia remaja akan menjalankan aktiviti mengikut keamahuan mereka sendiri tanpa mendengar nasihat daripada orang dewasa. Jadinya jika kaunselor hanya memberikan nasihat pada kliennya mungkin nasihat tersebut tidak diterima dengan mudah oleh kliennya.

Kemahiran pemberian nasihat ini merupakan teknik-teknik yang sama dengan teknik pujukan. Dalam sesi kaunseling, seeloknya para kaunselor menerokai sesuatu strategi penyelesaian masalah dengan klien. Sebagai contoh, sekiranya pelajar mengahdapi masalah dalam pembelajaran, kaunselor tidak boleh terlalu cepat untuk mencadangkan dia mengikuti kelas tuisyen. Hal ini kerana cadangan seperti ini tidak memerlukan latihan dalam bimbingan atau kaunseling.

Jadinya, kaunselor perlulah menerokai masalah pelajar dengan bertanyakan apa yang dia boleh buat untuk memperbaiki pencapaiannya dalam pembejaran. Kaunselor tidak disarankan untuk terburu-buru dalam memberikan cadangan atau nasihat kerana kemungkinan akan menambahkan lagi masalah kliennya.

Kemahiran Ketika Ini (Immediacy)

Kemahiran ketika ini membawa maksud setiap kaunselor dapat meramalkan perasaan klien dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, apabila klien cuba melihat jam tangan beberapa kali, kemungkinan dia sudah berasa bosan dengan sesi kaunseling yang panjang itu.

Sebenarnya, kemahiran ketika ini/immediacy merupakan suatu pengakuan tentang apa yang berlaku di sini dan pada ketika ini. Kemahiran ketika ini perlulah digunakan secara berwaspada kerana ianya boleh mengganggu perasaan klien.

Kemahiran Membuat Rumusan

Tindakan kaunselor untuk membuat rumusan merupakan proses menggulung segala perbincangan yang dilakukan oleh kaunselor dan klien dalam sesi kaunseling. Hal ini kerana membuat rumusan merupakan cara untuk menamatkan sesi kaunseling. Dalam membuat rumusan, perkara-perkara yang penting akan diutamakan. Dengan membuat rumusan, para kaunselor mampu untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam tentang kliennya dan membantunya untuk menyelesaikan masalah serta membantu kaunselor meninjau kemajuan yang dicapai oleh kliennya.

No comments:

Post a Comment

RUMUSAN DAN RUJUKAN BIMBINGAN & KAUNSELING

RUMUSAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING Rumusan yang diperoleh dalam mempelajari mata pelajaran bimbingan dan kaunseling ialah dengan adanya p...